Monday, November 12, 2007

BEZANYA IKHWAH&AKHAWAT


Hikmah Membezakan Lelaki Daripada Wanita Di Dalam Beberapa Hukum

Pada kali ini insya-Allah kita cuba pula meneliti sejauh manakah hikmah agama Islam yang maha suci ini membezakan lelaki daripada wanita di dalam beberapa hukum.

Contoh soalan yang dikemukakan: Jikalau agama Islam mengakui kemanusian wanita adalah sama seperti kemanusian lelaki, maka apakah sebabnya Islam membezakan kaum lelaki di dalam beberapa perkara, seperti saksi, pembahagian pusaka, denda, urusan rumah tangga, kepimpinan negara dan bebarapa lagi hukum-hukum kecil yang lain?

Pada hakikatnya, pembezaan di antara lelaki dan wanita di dalam hukum-hukum seperti ini bukanlah disebabkan oleh kedudukan kaum lelaki yang lebih mulia di sisi Allah s.w.t ataupun mereka lebih dekat dengan Allah s.w.t daripada kaum wanita, kerana orang yang paling mulia di sisi Allah s.w.t ialah yang paling bertaqwa, lelaki maupun wanita adalah sama. Hal ini dijelaskan di dalam firman Allah s.w.t (surah al-Hujurat ayat 13): Mafhumnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah s.w.t ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.

Tetapi perbezaan ini terjadi setelah melihat kepada tugasan yang mampu ditangani oleh lelaki ataupun wanita itu sendiri secara semulajadi. Perkara seperti ini kita akan bincangkan di dalam bab-bab yang seterusnya.

Bab satu: Saksi Wanita Dan Saksi Lelaki.

Di dalam bab ini kita akan membincangkan perbezaan di antara lelaki dan wanita di dalam urusan penyaksian. Di dalam al-Quran terdapat ayat berkenaan hutang yang menerangkan suruhan Allah s.w.t supaya mencatatkan hutang apabila ingin berhutang, serta berjaga-jaga dalam hal tersebut. Firman Allah s.w.t (al-Baqarah ayat 282) : maksudnya: Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu kemudian kalau tidak ada dua orang saksi lelaki maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang wanita daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika seorang lupa (dari saksi-saksi wanita itu) maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi.

Di sini jelas al-Quran menjadikan penyaksian seorang lelaki bersamaan dengan dua orang wanita. Selain daripada itu para Jumhur Fuqaha' juga menetapkan bahawa penyaksian wanita tidak diterima dalam hal berkaitan hukum Hudud dan Qisas.

Alhamdulillah, perbezaan ini bukanlah kerana kekurangan ciri-ciri kemanusian dalam diri wanita tetapi wanita - secara fitrah sememangnya - tidak terlibat dalam hal berkaitan kewangan dan muamalat (urusan) harta benda. Ini kerana wanita lebih sibuk dengan hal-ehwal rumahtangga sekiranya dia adalah seorang isteri, ataupun dengan anak-pinak jika beliau seorang ibu dan memikirkan tentang perkahwinan jika beliau seorang janda. Kesan dari itu daya ingatannya menjadi lemah dalam memikirkan hal-ehwal muamalat. Oleh yang demikian ayat tersebut memerintahkan pemiutang agar menyediakan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua wanita apabila ingin membuat perjanjian hutang. Sebab apabila seorang wanita tersebut terlupa maka ia akan diingatkan oleh seorang lagi.

Firman Allah swt. di dalam ayat yang sama: Mafhumnya : Supaya jika salah seorang daripada mereka (saksi perempuan) terlupa maka dapat diingatkan oleh seorang lagi.

Satu perkara lagi yang menyebabkan para Fuqaha' melarang wanita menjadi saksi dalam undang-undang Hudud dan Qisas&ldots; adalah disebabkan keadaan mereka yang jauh dari kesibukan, tempat-tempat jenayah serta jauh dari pergaduhan mempertahankan diri dan harta benda. Seperti yang dimaklumi jika mereka melihat sesuatu jenayah mereka akan menutup mata dan lari dalam keadaan terpekik dan menjerit. Oleh yang demikian adalah susah bagi mereka untuk menceritakannya secara terperinci dan jelas. Ini kerana emosi mereka tidak dapat ditumpukan secara tepat dalam hal-hal seperti ini.

Namun begitu para Fuqaha' tersebut membenarkan wanita menjadi saksi -walaupun seorang- dalam hal ehwal kewanitaan yang hanya khusus untuk mereka. Sebagai contoh kesaksian mereka dalam kes susuan, dara, janda, haid, nifas dan seumpamanya yang hanya berkaitan dengan kewanitaan secara semulajadi. Sebenarnya hukum yang disebutkan tadi bukanlah ijma' dikalangan fuqaha'. Bagi mazhab 'Ata'- salah seorang imam tabien - beliau mengambil penyaksian wanita dalam kes Hudud dan Qisas.

Terdapat sesetengah Fuqaha' lain berpegang bahawa penyaksian wanita tetap akan diambil kira dalam kes-kes jenayah yang berlaku di tempat-tempat yang kebiasaannya tiada lelaki. Seperti di bilik mandi, kamar wanita, di tempat perkahwinan dan sebagainya yang mana ia dikhaskan untuk wanita sahaja. Seandainya seorang wanita melakukan jenayah terhadap wanita lain di tempat-tempat berkenaan seperti membunuh, mencedera dan mematahkan anggota mangsa, manakala saksi-saksinya pula hanya terdiri daripada wanita sahaja, maka dalam kes seperti ini adakah penyaksian wanita ditolak samata-mata kerana mereka adalah wanita? Atau adakah diminta penyaksian lelaki sedangkan mereka tidak terlibat secara langsung dalam kes tersebut?

Realitinya penyaksian wanita diambil kira selagi mana mereka seorang yang adil, teliti dan prihatin terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Syeikh al-Azhar yang lalu iaitu Syiekh Mahmud Syaltut pernah menerangkan maksud ayat firman Allah s.w.t (al-Baqarah ayat 282): mafhumnya: Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Hinggalah firmanNya yang bermaksud: Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu kemudian kalau tidak ada dua orang saksi lelaki maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang wanita daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika seorang lupa (dari saksi-saksi wanita itu) maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Jelasnya penyaksian yang disebut adalah berkaitan perjanjian, bukannya dalam hukum perundangan. Di samping itu, ia juga menunjukkan cara terbaik dalam membuat perjanjian untuk menyakinkan mereka yang bermuamalah bahawa hak-hak mereka terpelihara. Bukanlah ayat tersebut bermaksud bahawa hak penyaksian seorang wanita atau dua orang tidak diterima tanpa kehadiran lelaki. Ataupun hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan penyaksian wanita. Lagipun paling penting apa yang diminta dalam hukum perundangan adalah keterangan (Bayyinah).

Syeikh Ibn Qayyim menyatakan bahawa dalam hukum syarak keterangan itu lebih umum berbanding penyaksian. Setiap kebenaran yang diketengah dan diperjelaskan itu dinamakan keterangan, dan hakim akan menjatuhkan hukuman berdasarkannya. Hukuman yang dijatuhkan itu adalah berdasarkan kaitan-kaitan (qarinah-qarinah) yang paling tepat, bahkan beliau juga boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan saksi bukan Islam selagi mana ia dipercayai dan diyakini.

Manakala ayat yang menyamakan dua orang wanita dengan seorang lelaki itu pula bukanlah disebabkan oleh kelemahan akalnya kesan dari kurangnya ciri-ciri kemanusiaan yang dimiliki tetapi wanita - sepertimana yang diterangkan oleh Syeikh Muhammad Abduh - : "Pekerjaan mereka pada asalnya kurang terlibat dengan hal ehwal-kewangan dan seumpamanya yang berkaitan pertukaran barang. Kesan dari inilah memori mereka menjadi agak lemah untuk mengingatinya. Walau bagaimanapun keadaan mereka berbeza di dalam hal-ehwal berkaitan rumahtangga yang menjadi rutin mereka. Bahkan memori mereka lebih kuat berbanding memori lelaki dalam hal ini. Sememangnya menjadi tabiat msecara umum, ingatan mereka terhadap kkerja yang menjadi kebiasaan, dan memberi kepentingan serta dipraktikan secara langsung adalah lebih kuat. "

Ayat al-Quran tadi sebenarnya memperkatakan sesuatu yang menjadi kebiasaan seorang wanita, dan sememangnya kebanyakan wanita sehingga ke hari ini masih lagi begitu. Mereka tidak menjadi saksi dalam perjanjian hutang serta kurang terlibat di dalam projek jual-beli. Pun begitu ada sesetengah wanita terlibat dalam pekerjaan tadi tetapi keterlibatan ini tidak menafikan tabiat asal mereka . Oleh yang demikian ayat tersebut memberi panduan terbaik dalam hal-ehwal perjanjian, iaitu apabila mereka terlibat dalam proses jual beli dalam situasi yang dikuasai oleh wani, dan mereka hadir dalam majlis-majlis perjanjian, maka wanita-wanita tersebut berhak untuk menjadi saksi seperti lelaki selagi mana orang yang terlibat dalam muamalah tadi yakin dengan daya ingatan mereka serta tidak cepat lupa sepertimana mereka menyakini daya ingatan lelaki.

Rasanya kita tidak melangkah terlalu jauh lagi untuk membicarakan tentang perkara ini. Sesungguhnya di dalam al-Quran ayat hukum lian (sumpah) telah menyamakan penyaksian lelaki dan wanita. Begitulah sepertimana yang telah disyarakkan di dalam al-Quran ketika mana seorang lelaki menuduh isterinya berzina dan ketika itu beliau juga tidak dapat menampilkan empat orang saksi. Firman Allah s.w.t. (al-Nur ayat 6-9):

Mafhumnya : Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) melainkan dirinya sendiri, maka penyaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah s.w.t empat kali bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata ): Laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa, isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah empat kali bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Kemurkaan Allah s.w.t akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.

Dalam kes ini kita akan dapati si suami akan menggantikan empat orang saksi diikuti dengan sumpah bahawa laknat Allah s.w.t akan menimpanya jika beliau berbohong. Begitu juga si isteri akan menolak tuduhan suaminya dengan menggantikan empat orang saksi wanita diikuti dengan kemurkaan Allah s.w.t menimpanya jika tuduhan suaminya benar.

No comments: